Assalamualaikum
Tulisan ini cuba melihat & menelaah isu-isu mutakhir melalui penulisan novel Faisal Tehrani atau Mohd Faizal bin Musa bertajuk Tuhan Manusia. Sesudah dinukilkan Bila Tuhan Berbicara (novel drama), Faisal Tehrani tampil dengan novel berat berkisar persoalan kehidupan manusia yang memerlukan Tuhan.
Ayat keramat dari Al Quran sering diulangkali demi mengajak para pembaca menanggapi Tuhan manusia itu satu dan tidak boleh pada masa yang sama menjadi tiga atau lebih, hanya Satu.
Ayat ini berluang:
ANDAI kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.
Awalan penceritaan novel dipaparkan soal akar masalah itu perlu dipulangkan penyelesaiannya pada Tuhan, bukan semata akal cetek dan kebebasan tidak diikat panduan wahyu.
Berikut disertakan tulisan Faisal Tehrani bertajuk Azlina Jailani, Ali Taqi & Tuhan Manusia di dalam majalah Milenia Muslim keluaran Oktober 2007 halaman 7 pada ruangan Bingkisan:
LAMA dahulu apabila nama Azlina Jailani meniti dari bibir ke bibir umat Islam, sebagai seorang pengarang sastera ada dua pertanyaan yang menerjah benak. Soalan pertama saya ialah mengapakah seorang Azlina boleh menjadi begini? Soalan kedua ialah, apakah perasaan keluarga rapatnya?
Majalah Milenia Muslim September 2007 memuatkan temubual dengan ibu dan abang kandung Azlina Jailani. Menurut ibunya, Hajah Kalthum, beliau masih menganggap Azlina sebagai anaknya dan tidak pernah berhenti berharap anak perempuan kesayangannya itu kembali ke pangkuan keluarga dan agama Islam.
Soalan kedua saya itu tadi tertancap dalam benak agak lama. Saya memikirkan jika ada seorang pemuda murtad, katakan namanya Talha; bagaimanakah perasaan adiknya, katakan namanya Ali Taqi. Itulah sedikit sebanyak permainan emosi hebat yang dibawa dalam novel terkini saya Tuhan Manusia terbitan Ameen Publishing. Perasaan duka dan kecewa yang harus dibendung oleh seorang remaja lantaran kemurtadan abangnya menjadi satu kembara ilmu yang berliku untuk Ali Taqi. Ali Taqi cuba menjawab soalan pertama dalam benak saya tadi iaitu, mengapa seorang muslim boleh sampai murtad. Tuhan Manusia yang saya tulis ketika berada di Eropah hujung tahun lalu menjadi sebuah jawapan kepada dua pertanyaan di atas.
Lama dahulu saya terpesona membaca Ateis karya Achdiat K Mihardja. Saya kira Tuhan Manusia adalah sebuah karya kecil yang cuba meneroka jalan besar yang pernah ditempuh oleh pengarang agam Indonesia tersebut.
Ali Taqi adalah seorang remaja yang serius. Minatnya kepada hal-hal serius dalam kehidupan sudah bermula dari rumah, ibunya sering membisikkan kata-kata falsafah yang bermakna ke telinganya. Kerana itu Tuhan Manusia bertitik-tolak daripada pertanyaan. Ali Taqi sering bertanya kerana kunci itu adalah menerusi pertanyaan. Ali Taqi saya gambarkan sebagai seorang remaja yang sungguh-sungguh mempercayai bahawa ’ubat bagi kebutaan adalah dengan terus bertanya, dan sesungguhnya puncak kebutaan adalah terus bersikap diam atas kebodohan.’ Kerana itu secara bentuknya, novel Tuhan Manusia penuh dengan wacana, soal-jawab dan perbincangan falsafah serta pemikiran seputar persoalan murtad dan gejala pluralisme.
Untuk memberi keadilan, saya mengkaji pelbagai aliran pemikiran Islam dalam menanggapi persoalan murtad dan pluralisme ini sebelum mencerna sebegitu banyak hujah yang ada untuk ditampilkan dalam novel ini. Saya mengkaji sehingga harus kembali ke pucuk permasalahan iaitu bermacam gejala westoksikasi yang berlaku. Gejala westoksikasi kerana ibu bapa tidak peduli, berlaku pula kerana masyarakat tidak peduli. Dan masyarakat tidak peduli kerana ulama sendiri tidak peduli. Pendidikan kita diracuni westoksikasi, mufti sendiri ada yang mengatakan persoalan agama adalah personal dan kebencian kita sesama sendiri membusuk dan memburukkan keadaan. Pemerintah cuba memperlekehkan gejala racun ini dengan terus memaksakan westoksikasi dengan nama-nama baru yang lain.
Tuhan Manusia cuba menyambut cabaran yang dilontar oleh ustaz Yusuf Zaki Yaacob dalam tahun 1973 menerusi makalahnya ‘Masalah Pengasingan Sasterawan Melayu dari Intelektualisme Islam’. Ustaz Yusoff Zaki menulis: ‘Kini, di saat kita mengkehendaki satu bentuk pemikiran Islam yang dinamis, sesuai untuk menjiwai pembangunan kita, maka undang-undang yang cuba menahan perkembangan pemikiran Islam dalam tembok-tembok mazhab yang sempit itu perlu dihapuskan. Masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab, kerana persoalan-persoalan yang timbul di zaman moden ini tidak mampu diatasi dengan pemikiran mazhab Syafie sahaja’.
Saya bekerja keras memikir dan menulis novel Tuhan Manusia ini termasuk menghubungkan pelbagai falsafah dan perbezaan mazhab. Seperti yang dituntut oleh Ustaz Yusuf kita tidak harus terhad dalam satu jalur pemikiran sahaja. Kerana kita mahukan kebenaran, dan jika hasil itu hanya dapat dicapai di luar lingkungan yang biasa kita lazimi maka kita harus jujur, ikhlas dan berani mengakui kesilapan kita. Saya temui inti pemikiran Jamaludin el Afghani dan muridnya Muhammad Abduh yang menyeru penyatuan sunni-syiah untuk berdepan dengan westoksikasi yang dipaksakan oleh Barat. Saya menyusur segala persoalan ini hingga terbit dan menemui satu rumusan yang westoksikasi ini, seperti pernah dikemukakan oleh Jalal Ali Ahmad bukan semata-mata kerana mabuk gilakan Barat tetapi juga kerana pemusnahan yang dilakukan oleh kita sendiri, ya ulama dan khalifah kita sendiri; pemusnahan terhadap jatidiri Islam, latar belakang budaya tradisi dan seruan supaya kembali kepada Allah, Rasul dan keluarganya baginda Nabi itu sendiri.
Tuhan Manusia mungkin terilham dari dua pertanyaan tentang Azlina Jailani, dan dijawab oleh Ali Taqi karektor utama dalam novel Tuhan Manusia. Ini sahaja sumbangan kecil saya untuk masyarakat, dalam berdepan dengan westoksikasi yang salah satu gejalanya adalah kemurtadan.
Pendekatan melankolia ala pop, pop ala desperate housewives, kartunisme, ‘underground’, humor-realisme magis, novel bersiri, dramaturgi Islam dengan memadunya pendekatan theatre of the oppressed dan EsPen (esei + cerpen) telah digunakan oleh FT dalam gaya penulisannya selama 15 tahun sudah.
Saya tidaklah mengendahkan gaya penulisannya itu tapi saya melihat kepada kebenaran yang cuba disampaikan dan cara kebenaran tersebut dapat digerak dan ditegakkan. Kebanyakan komentar sinis lebih kepada soal teknikal dan buta dalam dunia sastera tapi tidak menjurus kepada isi penulisan yang cuba diketengahkan seseorang penulis. Ada orang mempertikaikan Allahyarham Usman Awang dinobat Sasterawan Negara. Pada saya itu cuma nama diberi, anggap saya dia tidak berkehendak begitu tapi harap mesej perjuangannya difahami dan dihayati, itu yang diingini.
Tuhan Manusia jikapun ia popular atau segar pada masa kini, andai isinya benam dek bicara kosong akan rugi masa dan tenaga membaca dan membeli. Hadiahkan ia pada Perdana Menteri juga Bekas Perdana Menteri serta ahli politik dan ahli keagamaan. Biar dibaca pemimpin dan rakyat dipimpin.
Ada dua kaedah dalam menyalur kebenaran dan kesahihan bertindak secara jamaie pada masyarakat kita. Pertamanya melalui Ketaatan pada Pemimpin, Keduanya melalui Kepimpinan Melalui Pandangan Umum/Gerakan Massa atau Public Opinion Leadership (POL).
Laluan pertama mungkin kelihatan sukar tapi ia bisa digerak sebabnya majlis sastera harus juga dihadiri pemimpin, maka terangkanlah jalannya. Pemimpin perlu dicelikkan juga mata dan mindanya. Tegur pemimpin juga perlu disamping mendidik masyarakat. Laluan keduanya kelihatan mudah sebab ia dilihat tiada ancaman kuasa politik yang keras di sana. Tapi ia perlu masa dan banyak kerahan tenaga.
Merenung hal ini, kita perlu saja buat kerja kita, just do it based on the given guidance!
Punya banyak fikir dan cadang, tindakan adalah langkah seterusnya. Ada menulis, ada bicara, ada memikir dan macam cara digaya.
Soalnya kebenaran perlu diusaha! Natijah jangan disoal tanya!
Wallahualam
Baca juga
:
- Menulis itu Kuasa
- Bahasa Sarana Dakwah
- Pluralisme dan Pendirian Islam - Dr. Danial Zainal Abidin
- Pluralism – A Clear & Present Danger – Dr. Musa Mohd. Nordin
- Religious Plurality: Myth or Reality? - Dr. Anis malik Thoha
- Liberal Islam – The Indonesian Experience - Adnin Armas
- LIBERAL ISLAM: EMERGING TRENDS, ISSUES & CONCERNS - Muhammad ‘Uthman el-Muhammady





[...] Tuhan Manusia [...]