
Assalamualaikum wa rahmatullah ![]()
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah Al-An`am: ayat 153)
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Surah Ali ‘Imran ayat 85)
Fahaman ini sebenarnya telah lama wujud dalam diri manusia yang hanya mahu kebebasan tanpa terikat dengan Tuhan. Mengapa demikian? Mari kita lihat apa itu Pluralisme!
Pluralisme ialah konsep kesamaan dalam kepelbagaian agama. Konsep ini menekankan bahawa semua agama adalah sama dan menuju kepada kemuncak kebenaran yang sama. Bagi pengamal fahaman ini, agama-agama besar seperti Islam, Buddha, Hindu dan Kristian berbeza dari segi luaran tetapi pada mereka punya kesamaan dari matlamat akhirnya iaitu Tuhan yang wajib disembah dengan ikut suka hati mereka. Asalkan mereka menyembah tuhan.
Sepintas lalu, kepercayaan ini nampak relevan tapi sebenarnya ia amat dangkal sekali sebab idea ini tidak murni dan hanya mahu kebebasan mutlak tanpa bertuhan akhirnya. Ia boleh membawa kepada bertuhankan kepada diri sendiri dan melupakan tuhan sebenar manusia.
Sebelum tragedi 911, golongan tertinggi Kristian amat tidak bersetuju dengan idea pluralisme ini yang popular lewat tahun 1865 oleh Ernst Troeltsch. Namun setelah tragedi 911, mereka mengambil sikap membenarkan idea ini disamping menguatkan dakyah Kristian di seluruh dunia, khusus meramaikan penganut Kristian bukan penganut pluralisme. Apakah erti ini? Fikirkan.
Jika melihat kepada budaya tempatan di Malaysia, fahaman ini mula menyerang golongan muda yang lebih sukakan kebebasan tanpa batasan. Sebab budaya hiburan kini lebih diminati dan teknologi sering menjadikan manusia subjek tontonan yang menarik lantas budaya glamor dicanangkan bersama. Hasilnya sifat agungkan diri itu tinggi hingga satu tahap nanti akan bertuhankan diri sendiri. Ini melampau dan ia adalah kebebasan buta yang dilakukan sewenangnya oleh manusia.
Allah berkata dalam Surah Al Maidah pada ayat 72-73:
Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam. Padahal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim. Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Imam Al Ghazali dalam kitabnya Kimya As Sa’adah menerangkan pelbagai aspek mencapai kebahagiaan hakiki bermula dengan mengenal diri, mengenal Allah, mengenal hakikat dunia, dan mengenal hakikat akhirat.
Golongan pluralis sering kali mengatakan bahawa pelbagai sembahan yang disembah oleh manusia mengikut agama masing-masing tidak sepatutnya menimbulkan masalah kerana tujuannya tetap sama, iaitu, untuk mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Namun Islam tetap tidak bersetuju dengan pluralis walau menghormati semua agama lain. Ini ditegaskan dalam Surah Az Zumar ayat 3 & 4:
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Dia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Sucilah Dia (dari menghendaki yang demikian). Dialah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya.
Sekian coretan biasa yang berbisa buat semua.
Baca juga di:
- Pluralisme & Pendirian Islam – Dr. Danial Zainal Abidin
- Pluralism – A Clear & Present Danger – Dr. Musa bin Nordin
- Liberalisme Pluralisme – Prof. Madya Dr. Idris bin Zakaria
- Muzakarah Ulama 2006
- Tuhan Manusia






