Bismillahir Rahmanir Raheem
Bahagian Surat 25hb Januari 2008
INDUSTRI hiburan tanah air dikejutkan dengan kejadian yang membuka mata banyak pihak ekoran artis Faizal Tahir, menanggalkan baju sehingga mendedahkan badannya yang disembur cat merah ketika siaran langsung konsert yang disiarkan di 8TV, 13 Januari lalu. Kejadian itu mendapat perhatian serius Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Tindakan di luar dugaan Faizal itu mengundang tindakan keras daripada pelbagai pihak.
Pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil serius perkara itu daripada terus berulang dengan memperkenalkan satu garis panduan etika pemakaian dan etika persembahan artis di negara ini.
Bila timbul isu hangat, baru kita sibuk bincangkan tetapi selama ini kita terlepas pandang, mungkin bagaimana pula dengan gaya pemakaian sebahagian artis wanita kita yang hampir mengalahkan artis Barat.
Tambahan pula, jika kita sandarkan kepada keadaan di negara ini, majoriti remaja dan belia menjadikan artis sebagai idola mereka.
Jika tidak ada satu mekanisme penyeragaman etika pemakaian yang bersopan, mereka akan turut mengikuti contoh yang tidak baik ini dalam kehidupan mereka.
Kita boleh mengambil contoh ramai artis dan personaliti tempatan yang memang boleh dijadikan contoh dari segi etika pemakaian, seperti Mawi, Wardina, Waheeda dan Bienda yang jelas dikagumi dan menjadikan mereka lebih laris dalam dunia seni hiburan.
Kita perlu berfikiran terbuka dan tidak menafikan lagi bahawa gejala sosial yang semakin kritikal di negara kita ini kebanyakannya bermula daripada gaya pemakaian tidak bersopan.
EL AMERN MDS,
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma),
Melaka.
Bacaan luas:




