
Assalamu’alaikum wa rahmatullah 
Mana-mana agama tidak menetapkan kod pakaian yang tertentu tetapi semua agama menegah daripada mengundang kecelakaan dalam masyarakat.
Namun saya sebagai Muslim melihat dari segi ‘kod etika‘ dalam Islam jelas dinyatakan dalam Al Quran dan perlu diikut oleh semua mereka yang mengaku Muslim dan sesuai pula diamalkan oleh penganut agama lain.
Kod pakaian sama ada di sekolah, rumah, pejabat, tempat awam perlu sopan mengikut panduan Islam (baca teliti bukan dengan kehendak masyarakat setempat atau naluri sendiri) secara mudahnya dan selesa bagi si pemakai. Tidak mengundang perkara buruk pada diri sendiri dan orang lain dalam tempoh jangka masa pendek dan selamanya dalam sesebuah institusi masyarakat yang faham akan tuntutan naluri manusia.
Adapun tujuan pakaian dalam pandangan Islam ada dua (2):
- Gunanya bagi menutup aurat, dan
- Sebagai perhiasan
Kedua fungsi di atas dapat kita semua teliti dalam surah Al A’raaf ayat 26. Dalam keterangan ayat tersebut arahan menutup aurat lebih utama dan ia perkuat dengan ayat seterusnya. Fungsi menutup aurat adalah sesuai dengan fitrah manusia yang secara sendiri akan berasa malu bilamana auratnya terdedah. Sehingga itu manusia itu masih berbeza dengan binatang yang telanjang.
Sedang pakaian sebagai perhiasan adalah sebagai hadiah dari Allah Maha Bijaksana yang diberikan kepada manusia yang berakal agar tahu berpakaian dan berhias.
Perihal aurat dalam Islam telah digariskan buat kedua jantina manusia baik lelaki mahupun wanita. Itu boleh dirujuk disini dalam artikel pautan bertajuk Aurat & Silang Jantina.
Di sini secara ringkasnya bagi wanita utamanya, panduan berpakaian adalah tidak nipis dan menampakkan kulitnya. Tidak pula ketat menampakkan bentuk badannya, hendaklah longgar lagi selesa. Juga menutup anggota badan seperti dada, paha dan sebagainya yang berkaitan dengan aurat mereka.
Dalam hadis Ar Rasul Sallallahualaihiwasallam diriwayatkan oleh Abu Hurairah, baginda Sallallahualaihiwasallam berkata:
Ada dua (2) golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat, keduanya itu: (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan masuk syurga, dan tidak akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.
Riwayat Muslim dalam Bab Pakaian
Dari segi warna atau jenis fabrik pakaian, tidak pula Islam menentukannya. Tetapi panduan di atas yang telah diungkap secara ringkas perlu dipatuhi.
Maka pilihlah warna kegemaranmu asal sahaja ia tidak menampakkan tubuh di dalam kain balutan tubuh pemakai.
Maka jahitlah pakaianmu dari segala macam fabrik yang ada dimuka bumi ini, asal sahaja ia tidak menonjolkan bentuk batang tubuhmu.
Maka pakailah pakaian yang sesuai denganmu. Sekiranya engkau si pemakai adalah lelaki, maka berlakulah seperti lelaki pada pakaianmu. Jangan pula engkau menyerupai wanita.
Sekiranya engkau si pemakai adalah wanita, maka berlakulah seperti wanita pada pakaianmu. Jangan pula engkau menyerupai lelaki.
Ibu dan ayah bagi si anak kecil, tanam dalam hati mereka sayangkan maruah dan harga diri, ada aurat perlu dijaga, jangan menjadi contoh durjana.
Setakat tulisan di atas adalah buat pemahaman kepada yang kurang jelas akan konsep menjaga aurat dalam Islam.
Merujuk kepada penggubal undang-undang dan pemerintah yang berkuasa dalam melaksanakan syariat Islam kepada rakyat adalah lebih mencabar daya usaha yang perlu dijalankan. Pemerintah seharusnya berfikir untuk masa hadapan bangsanya. Dalam hal ini Islam tidak kolot dan tidak kuno dalam hal berpakaian dan berfesyen.
Pakaian menunjukkan tata budaya sesebuah negara atau sebuah tamadun, setinggi mana akhlaq dan pemikiran. Sekiranya tatacara pakaian seseorang atau bangsa itu terlihat padanya simbol bermewah-mewahan sedang sumbangannya pada masyarakat tiada apa, maka tahulah kita, mereka itu hanyalah bermegah dengan diri sendiri dan hidup dalam dunia sendiri.
Sedang pula mereka yang berpakaian tetapi bagai tak berbaju, ternampak bahagian tubuh yang terlarang didedah dengan sengaja demi meraih cinta murahan dan puji dan puja terlaknat, maka tahulah kita dengan pertimbangan wahyu dan akal waras, mereka itu tak ubah seperti binatang yang tidak berakal bahkan fikiran mereka lebih sesat dari binatang ternakan. Hanya tahu makan minum dan memenuhi syahwat semata.
Persoalan sistem perundangan dan pelaksanaan di peringkat dasar dan pusat lebih diketahui pemimpin dan pemerintah. Maka sudah semestinya sistem operasi itu perlu menyokong aspirasi syariat sekaligus menyuntik penguatkuasaan dan suasana yang memenuhi objektif murni ini. Akan terhindar masyarakat dari gejala kecelaruan identiti dan budaya baik dari individu mahupun masyarakat.
Jelas peranan pemimpin atau pemerintah baik di peringkat keluarga hinggalah menaiki strata penggubal undang-undang dan politikus yang bergelumang dengan kuasa di tangan mereka lebih menuntut kejelasan dan kefahaman yang sebenar dalam memimpin rakyat atau orang yang di bawah pimpinannya.
Namun semua kefahaman dan usaha keras ini bukanlah hanya untuk orang bertanggungjawab besar. Ia terpundak ke atas bahu setiap Muslimin dan Muslimat tanpa terkecuali.
Moga kita terhindar dari golongan rugi yang berbalah di akhirat kelak dengan pertanggungjawaban yang tidak disempurnakan semasa di dunia.
Cadangan bacaan kefahaman:
- Mengenal Tuhan
- Aurat & Silang Jantina
- Hijab: Memelihara Wanita
- Halal & Haram dalam Islam – Yusuf Al Qardhawi
- Apa Erti Saya Menganut Islam – Fathi Yakan
SELOKA AURAT (Aina Dayana)
Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Klau keras hati gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.
Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekung pun orang cakap,
Elok dipandang tak payah pun ‘make up’.
Berbaju kurung bukanlah mengurung,
Lebih elok jubah jika direnung,
Kaki pula eloklah bersarung,
Agar syaitan susah nak bertarung.
Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.
Pakaian moden memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakai pun nampak pusat.
Berseluar ketat baju pun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai memanglah dipandang jahat,
Dimurka Allah, Rasul, dan Malaikat.
Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata memandang ketiak seperti ikan lolong.
Lagiah aneh bila difikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah paha terukir.
Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudahlah tentu.
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilaknat tak guna sesen.
Kalau nak ‘make up’ biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi juga fikirkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.
Kasut tinggi cuba jauhi,
kerana ia melahirkan bunyi,
boleh menarik perhatian lelaki,
perbuatan ini dibenci Ilahi.
Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki-laki,
Melenggok punggung membinasakan diri,
Ustaz melihat pun separuh mati.
Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikan tak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tak jadi bisul,
Memakai tudung Islam tersimbol.
Selokaku ini bukanlah jahat,
Cuma saja mahu peringat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali rakan sejawat.
Kalau nak ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh ubahlah diri,
Benda yang baik tak payah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.
Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak wanita diperli,
Keluarga kita tak terkecuali,
Terutama sekali anak dan bini.
Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat sepanjang badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh teladan.
Setakat ini seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Apa yang baik hendaklah ikuti,
Kalau boleh seikhlas hati.





i really interested with your poem. ehm,ada input yang boleh kita ambik dari poem tu. and poem tu memang berguna and beri pengajaran pada gadis-gadis zaman sekarang kerana mereka lebih mengikuti trend semasa berbanding dengan hukum-hukum berpakaian.harap-harap ramai yang menyedarinya begitu juga saya sebagai seorang gadis melayu islam.