
Assalamu’alaikum wa Rahmatullah dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, sehingga kini saya telah 5 tahun menulis dalam dunia blog dan pelbagai jenis blog juga telah digunapakai antaranya, blogdrive (yang akhirnya saya lupa alamatnya), blogspot, typepad (friendster) dan yang terakhir sekali adalah wordpress (saya disini sekarang).
Saya berpindah sebab yang kecil adalah kesusahan mengendali dan cuba ikuti trend atau gaya terkini agar sesuai dengan sasaran pembaca tulisan saya. Dan kini masih diterima. Pastinya bukan untuk populariti, ini perlu dijelaskan. Dan bukan untuk orang taksub dengan hasil idea dan tulisan saya yang biasa-biasa ini.
Semata Menulis itu Hanyalah Untuk Kebenaran
Namun ada satu pesanan yang saya terima suatu ketika dahulu bahawa menulis ini adalah cara kita menyampaikan idea dan membina manusia dari dalam jiwanya. Menulis itu sebenarnya lebih berkuasa dari mata pedang yang tajam lagi runcing. Namun saya bukan mahu menghunus sesiapa dengan tulisan saya dan juga tidak pula mahu membunuh otak manusia dengan pemikiran yang saya lontarkan sebaliknya adalah untuk sama-sama mengerti bahawa para blogger yang ada dan setia menulis punya suatu kebolehan yang unik untuk menyampaikan kebenaran dan punya risiko juga untuk menyampaikan berita fitnah yang lebih dahsyat dari membunuh secara terus.
Dengan menulis juga lah saya dan anda dapat mengenali apa itu Al Quran dalam bentuk dan ayatnya. Syukur kepada Tuhan saya iaitu Allah yang menjadikan ilmu menulis pada manusia. Gunanya alat untuk mencatat dan merekod segala bagi urusan memudah dan selenggara kehidupan. Juga buat tatapan umum pada menzahirkan kebenaran serta ajakan kepada mendekatkan diri pada Tuhan, layak sebagai hamba.
Itulah kebenaran dalam menulis buat para penulis dan warga blogger.
Namun jika kurang jelas, belajar lagi dari yang lebih mengetahui dari saya. Moga ada kebenaran dari tulisan saya ini.
Blogger Adalah Ilmuwan pada Kedudukannya
Para blogger sebenarnya adalah ibarat ilmuwan internet yang lengkap dengan pakej pengetahuan pengendalian blog dan isu semasa sekitar mereka yang dianggap terkini dan penting. Para blogger juga adalah duta kepada kepercayaannya sendiri yang mana mempamerkan gaya pemikiran dengan penceritaan aktiviti yang dilakukan olehnya serta banyaknya pengalaman yang berharga dan berguna buat tatapan juga amalan si pembaca setia mereka.
Para blogger kini sudah ada yang telah bergelar ustaz, jurutera, politikus, negarawan, usahawan, budiman, mahasiswa, pelajar sekolah, golongan pendidik yang mana bila disebut secara umumnya adalah juga rakyat yang menghuni di atas tanah bumi yang sama namun bekerja dan melontar idea di tempat berbeza. Serta hidup dengan cara dan adat yang pelbagai.
Maka mengertilah para blogger, kita adalah satu golongan yang cepat menyampaikan serta cepat juga dalam mengajar serta mendidik masyarakat pembaca dan perindu kita di alam maya ini.
Maka jujurlah dengan jujur dalam redha pada kehendak dan perintah Tuhan. Maka bijaklah juga sebabnya jika apa yang kita tulis ini akan dipertanggungjawabkan akhirnya. Jika tidak di waktu kehidupan di dunia ini, maka jangan lupa ia tetap akan diakreditasikan oleh Tuhan di alam kehidupan akhirat nanti.
Jangan pula menjadi ilmuwan yang menjahanamkan. Ilmuwan ilmu hitam dan khurafat lagi hodoh ilmunya.
Mari jadi ilmuwan berguna dan memenangkan kebenaran. Ilmuwan yang ingin selalu ditatapi wajahnya lagi diamalkan tulisan saranannya.
Blogger Bila Menulis
Saranan buat sekalian blogger. Ada banyak perkara sebenarnya yang perlu dipertimbangkan apabila ingin mengutarakan penghujahan dan idea serta letak duduk sebenar sesuatu perkara isu.
Utamanya, menulis perlu berdasar pada prinsip mencari kebenaran yang membaikkan jiwa sekalian pembaca. Diikuti dengan bukti dan hujah yang jelas lagi mudah difahami serta tidak meleret dan menyusahkan.
Tidak juga memburukkan individu dan peribadi manusia lain demi menjaja nama sendiri atau periuk nasi.
Banyakkan nasihat dan saranan kreatif yang menarik minat pembaca agar terbuka minda mereka dari kesempitan cara.
Sesuaikan tulisan dengan gaya bahasa yang mudah dan faham oleh semua golongan. (Ini saya kurang berjaya sangat-sangat). Namun akan ditangani sekian ramai blogger lain alhamdulillah.
Tidak juga menghinakan seseorang dan sesuatu kaum yang lain. Datangkan perdamaian dan kesukaan pada seramai mungkin mengenali kita serta membca di ruangan kita.
Bersabarlah dalam menyampaikan berita dan jangan terlalu emosi hingga terganggu tujuan murni menulis dan menghalang pembaca memahami isu sebenar dengan sebab gaya bahasa yang terlalu emosi dan penuh prejudis.
Jadikan semua orang yang bertandang sebagai kawan meskipun pengunjung amat membenci kita.
Banyakkan menulis dengan panduan kebenaran dari Al Quran dan As Sunnah dalam peribadi Ar Rasul bersemuka dengan khalayak. Telusuri cara Ar Rasul menulis surat kepada pemimpin besar di negeri dan negara lain di zaman baginda dan kaedah baginda menyampaikan keadilan.
Penulisan akan Diadili dan Dihakimi
Hari ini kita menulis yang baik, maka akan ada pembaca kita nanti yang akan mengingati dan mengamalkannya pula. Jika kita dapat melihat pembaca kita melakukan kebaikan dan manfaat dengan sebab apa yang kita tuliskan, nescaya saya yakin kita akan tersenyum dan merasa bahagia pula dalam hati kita. Dan kebaikan itu tidak akan berhenti selagi ia diamalkan dan tidak mustahil kebaikan itu akan sampai kembali kepada kita atau keluarga kita dengan sebab si pembaca itu boleh jadi di kalangan sahabat dan rakan kita, malahan ia boleh jadi dari kalangan keluarga serumah dan saudara-mara. Indahnya ini. Dengan sebab barokah dan jujurnya kita menulis dari hati yang mahu memberi kebaikan dan menolong dalam membenarkan serta membetulkan letak duduk perkara yang salah.
Namun jika sebaliknya kita menulis yang tidak cocok dengan kehendak dan perintah Tuhan, maka pasti keburukan yang menimpa. Dan saya tidak mahu pula membayangkan keadaan itu.
Maka perbuatan kita saat ini dan lepas-lepas itu adalah sejarah yang selalu diperhatikan dan sering diadili serta dihakimi oleh pembaca dan perindu dan juga pendendam musuh kita (meskipun mereka tak layak mengadili dan menghakimi, hanya membetul dan menegur) juga ‘para pencatat amal’ kita di kanan dan kiri roh kita.
Godaan dan Cubaan Buat Blogger
Subhanallah ada teknologi alam maya ini, sekalian manusia telah berkumpul dan menyalin serta menyebar kebenaran dari tulisan para blogger, jika yang diambil adalah kebaikan.
Para pembaca juga selalu mengajukan pujian dan sanjungan terhadap blogger dengan sebab indah syahdu ayat yang digunakan cocok pada hati pembaca. Jika benar tujuan dan cara penyampaian, maka manfaatlah buat si pembaca yang memuji tadi.
Jangan pula blogger menjadi tidak keruan dan terlalu bangga dengan puji-pujian tadi, sebaliknya cuba memberikan yang lebih baik dengan tujuan akan ramai lagi akan sedar dan beramal atas apa yang dicoretkan dalam tulisannya.
Namun tidak kurang juga blogger akan menerima ugutan dan kutukan setengah pihak dengan sebab dikatakan cuba menjadi jurucakap pihak mereka, jika kebenaran tulisan menggugat rasa bersalah si pembaca. Tidak kurang yang insaf dan mahu bertaubat dengan sebab tulisan para blogger.
Blogger juga akan menerima bantuan secara zahir dan sirri atau rahsia dalam usahanya menegakkan kebenaran.
Maka adillah kita para blogger orang bertandang di ruangan kita. Mereka ada yang menerima dan menolak dengan sebab berbeza tahap pemahaman dan amalan. InsyaAllah, golongan menolak tadi akan dijelaskan pula oleh para blogger yang lain.
Kita hanya mampu menulis dan mengajak, namun si pengunjung dan pembaca lah yang akan bertindak di atas iman mereka. jangan kita memaksakan kebenaran ke atas mereka. Serahkan tugas penerimaan dari hati kepada Tuhan kita Allah Rabbul Jaleel.
Blogger Penemu Kebijaksanaan
Dari sekian blogger dalam senarai di dunia, blogger yang paling diminati adalah yang paling lunak tulisannya dan menjadi pembuka minda manusia terhadap berita yang disampaikan.
Lainnya juga adalah yang menulis pada mendamaikan yang berbalah dan menegur pada menyatupadukan yang terpisah.
Semua itu berlaku dengan sebab adanya hikmah dan bijaksana penulis atau blogger tadi dalam menyusun maklumat dan bukti supaya jelas dan terang pada membuktikan bahawa ada yang terbaik dalam berurusan dengan konflik dan masalah yang dibincangkan.
Maka yang beroleh kebijaksanaan adalah pembaca juga penulis.
Seterusnya tindakan penyelesaian yang dicadangkan adalah terletak pada tangan dan kemampuan kepercayan melakukan perubahan kebaikan yang dipersetujui.
Sungguh penulis blogger di masa ini ada yang dapat menemukan kebijaksanaan buat ramai orang yang kekeliruan pada isu besar hatta dalam sekecil hal sekalipun.
Blogger Bukan Tuhan dan Akan Mati
Ini adalah khusus buat pembaca tulisan saya dan sekalian pembaca blog lainnya. Tapislah kebenaran maka akan berhasil hikmah dan pengajaran.
Demikian ajaran Tuhan pada manusia yang mahu berfikir dan merenungkan.
Para blogger bukanlah sesiapapun melainkan manusia seperti golongan pembaca dan penerima maklumat. Akan pastinya ada kesilapan keciciran dalam penulisannya. Terdapat salah cara pada gaya bahasanya untuk menyalur idea gagasan kepercayaannya.
Maka gunakanlah tapis ilmu untuk mengenal baik dan buruk dalam tulisan para blogger yang maksum.
Seperkara lagi adalah jangan ditaati para blogger ini bagai Tuhan sembahan hingga ternanti-nanti tulisan barunya bagai sahabar Muhammad bin Abdullah Sallallahualaihi wasallam menanti perintah wahyu dari Tuhan.
Saya yakin para pembaca dan pengunjung ramainya lebih berilmu dan bijak dari blogger yang semakin ramai. Malahan si pembaca ada yang sudah lebih hebat amalnya setelah mengetahui kebenaran.
Dan para blogger akan mati atau bahasa lainnya para ilmuwan alam maya ini akan mati juga akhirnya. Maka dengan sebab itu juga, saya menyeru agar para pembaca menyebar dan amalkan apa sahaja yang baik.
Ramaikan lagi ilmuwan dan hamba beriman di dunia realiti offline yang terus berjumpa masyarakat. Akan ada lebih kesan positif dan hebat jelas keputusannya dari menulis.
Wallahualam
Mari beramal walau dengan apa jua kaedah yang dibenarkan.
Wassalam.



