“Saya bertekad akan mendermakan organ buah pinggang saya pada anak saya”, jelas seorang bapa.
“Entah bagaimana masa depan anak saya jika sakitnya tidak diubati! Keluh seorang ibu.
Begitu sekali fikiran ibu dan ayah terhadap anak mereka yang dalam kesakitan.
Saya sering juga diajukan soalan dan pertanyaan tentang bagaimana caranya untuk menunaikan hasrat bagi menderma organ. Dek kerana saya mempromosi pendermaan organ dalam entri saya tak lama dulu.
Ramainya datang dari golongan muda. Alhamdulillah. Saya doakan moga yang terbaik buat si penderma dan si penerima.
Namun saya tersentuh hati dengan beberapa pertanyaan dari kalangan ibu bapa yang berkehendakkan kesihatan buat anak mereka yang kesakitan buah pinggang dan sebagainya. Kesakitan itu harganya adalah organ yang sama dari manusia hidup yang budiman.
Dalam senario ini, ibu bapa kepada anak yang kesakitan inilah saya melihat keajaiban untuk menyembuhkan si anak.
Ya keajaiban!
Manusia melihat doktor itu umpama penyelamat, tapi jarang melihat sang ibu dan ayah juga sebenarnya sang penyelamat kepada si pesakit.
Guru dilihat penyembuh penyakit akal, Ustaz dianggap pembangun jiwa, Arkitek dipanggil penghias rumah.
Namun sebenarnya kesemuanya itu adalah peranan ibu bapa yang tidak terlihat. Oleh anak… yang berhutang kasih dan sayang pada ibu ayahnya. Oleh manusia… yang punya hati dan rasa untuk dikongsi.
Maka pertanyaan dan hasrat ibu dan ayah di atas tadi, telah memenuhi tuntutan seorang Muslim iaitu menolong membantu orang yang dekat dengannya. Ia panggilan iman buat kita semua:

Di situ keajaiban iman berlaku. Ihsan ibu ayah buat anaknya.Yang dekat pada sejuknya iman mereka. Mendamaikan.
Kasih sayang tanpa balasan.






