Nyaman pagi itu diangini tiupan bayu laut,
Pada pohon nyiur aku kuat berpaut,
Rasa segar dan indah ingin rasanya dikongsi,
Tak mahu sepi mendiam tuli.
Apa agaknya perasaan ini bertalu-talu,
Jika tiada kepingin perlu,
Jika bersama girang tak menentu,
Berbuat apa sahaja tak kunjung jemu.
Terasa penuh macam nak tersembur keluar segera,
Dalam dada punya cita khabar pada semua,
Rasa ini bukan untuk seorang cuma,
Bahkan buat semua bahagia.
Dari tepian jurang didaki semula puncak tiba,
Bergelut payah meruntun hiba derita semua terima,
Sehingga itu terbit di jiwa mula mengenal makna,
Sinar malap dan sinar benderang tak sama cahayanya.
Malar hijau daunan tanaman sejuk mata memandang,
Di celahan itu kuasa kunci syurga dalam hati datang,
Mengajak katanya bukan hanya untuk dunia fana kau berjuang,
Malah dunia abadi kau perjuang dan lantang terang.
Maka rindu itulah dia kenyamanan yang diimpi,
Tiada di mana hanya di sini, di hati,
Jangan mengira bilakan pergi,
Tapi menghitung sejauh mana berbakti.
Sekian pakcik lanjut usia berpesan,
Anak ini banyak upaya usah bazirkan,
Pakcik rindu keremajaan kegagahan,
Andai berpeluang takkan lepaskan.
Setua itu dia punya rindu,
Berkata permata pada anak muda lagak mulia,
Cermin diri balik bayang entah siapa,
Mengukur baju sering tak cukup ela.
Ya benar kata si tua berjasa,
Masa itu umur untuk berbakti hari lusa,
Selalu rindu buat yang terpuji,
Tak rugi bahkan berbudi semua tumpang sekaki.
Leave a Reply