๐
Assalamualaikum
12 April lalu sempat saya menjejak kaki dan menunaikan hasrat hati ke Pesta Buku KL di PWTC. Seawal jam 9 pagi dah bergegas dari Wangsa Maju menaiki Rapid KL Rail.
Sesampainya di sana tepat jam 10 pagi. Maka ligatlah kaki saya merayau dan memerhati kedai pertama yang ingin saya kunjungi tidak lain dan tidak bukan adalah gerai jualan Pustaka Salam. Saya naik tingkat 1.
Di sana, ramai sudah terpacak dan membelek-belek buku yang kebanyakan terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Antara karya Telaga Biru yang paling saya minati adalah tulisan Ustaz Zahazan mengenai 101 Doa dari Al Quran yang mengajar kita sejarah dan peri pentingnya doa sebagai seorang hamba. Kebanyakan orang sukar berdoa walaupun hati sentiasa gusar tak menentu. Lebih mengharapkan khidmat kaunseling percuma dari kawan-kawan atau kepada mesin-mesin di tangan iaitu telefon bimbit.
Di gerai Pustaka Salam tingkat 1 ini, saya mencari-cari Majmu’ Rasail tulisan Hasan Al Banna. Sayang, stok sudah habis. Kata penjaga premis muda Pustaka Salam yang baru sahaja tamat SPM 2007. Mujur ada buku Tafsir Wadhih Juz 29. Saya beli 101 Doa, Islam yang Mudah – Ustaz Alias Othman & Dr. Anisah dan Tafsir Wadhih ini dengan 10% diskaun.
Seterusnya ke gerai lain iaitu ke Utusan Distribution & Publication dan berjumpa banyak buku tulisan Mencari Locus Standi – Nisah Haron, 1515, Advencer Si Peniup Ney – Faisal Tehrani. Banyak juga buku-buku yang saya maklumkan ini, dibeli oleh pelawat yang datang berkunjung. Mereka bukan beli satu-satu tapi borong semua tulisan Nisah Haron dan Faisal Tehrani.
Kemudian kaki melangkah ke Al Ameen Books. Di sana saya bertemu dengan Isa Kamari penulis Atas Nama Cinta – novel sejarah berdasar kisah sebenar sekitar lewat tahun 1950an. Beliau juga penulis banyak karya sufi (saya fikir walau belum baca semua karyanya). Sebelum ni dia aktif berdrama. Orangnya kemas, terduduk di sudut gerai tempat santai penulis bersama peminat. Berbaju putih seluar hitam. Rambut sedikit beralun bercampur warna hitam dan putih.
Saya mendekat memberi salam disambut senyuman dan borak biasa. Dari borak-borak itu tahulah saya bahawa novel Atas Nama Cinta itu adalah novel kajian sejarahnya yang ditugaskan kepadanya. Oleh siapa, tak tahu pula saya?
Sebelum berpisah, dia menulis sesuatu kepada saya:
Kebenaran itu bukan terletak pada kata tetapi ia terletak pada makna.
Ringkas tapi sarat padat buat saya.
Sebetulnya banyak ingin diperkatakan dengannya, namun saya bukan orang Kuala Lumpur, perlu pulang jam 2 terus ke Melaka menaiki bas ekspres. Jam sudah angka 12. Sebelum berangkat saya menyambar beberapa buah buku dari tulisan Faisal Tehrani iaitu Karya Nan Indah, Bedar Sukma Bisu, Tunggu Teduh Dulu dan Manikam Kalbu.
Setelah itu ke tingkat bawah segera mencari gerai Readnetwork. Saya boleh jumpa gerai sisipan JIMedia (cabang dari JIM – Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia) untuk melihat buku terbitan terbaru penulis hebat, Kak Roha Hassan – Aku Ori Bukan Fotokopi, Dunia Tanpa Suami dan banyak lagi. Juga berjumpa Ummi Roses (Rosmawati) penggiat Raudhatus Sakinah juga penulis buku Ku Temui Jalan Pulang beserta pakcik Hamdy penulis Rancang Hidup Rancang Wang. Dan akhir sekali bekas pemangku KARISMA 2003-2005 akhi Wan Am juga penulis buku Agenda 07 bagi pembangunan IPT.
Mereka ini pendakwah hebat dengan tulisan dan idea kreatif mereka. Mereka contoh baik buat muda mudi. Sungguh perkenalan itu membuat kita mengenal potensi diri sendiri. Dapat melihat kebaikan pada insan lain yang lebih berjaya dalam medan beramal.
Di gerai JIMedia ini saya berjumpa naskhah tulisan kumpulan cerpen untuk Palestin bertajuk ‘Biarkan Aku Jadi Orang Palestin‘ selenggara JIMedia dan KARISMA (Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia). Menarik isi dalamnya penuh santai dan maklumat berkenaan ekspresi perasaan oleh penulis-penulis muda. Isu Palestin yang belum lagi selesai.
Banyak sudah sebenarnya gerai saya kunjung, namun di atas adalah beberapa gerai yang saya paling minat untuk kongsikan bersama. Ingatkan akan bertemu karya sulung Saifulislam.com, tapi masa tiada. Kena pulang awal.
Jam 2 alhamdulillah dalam bas menuju ke Melaka sambil membaca Karya Nan Indah.
Wallahualam.
Leave a comment