Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Law’

Cabaran Penegakan Syariah

Sebagaimana yang tertera dalam sejarah anbiya’, seruan menegakkan syariah akan hampir pasti disambut dengan penentangan kelompok yang zalim dan ingkar. Perkara ini dihuraikan dalam surah As Shaff ayat ke 7 dan 8 yang mafhumnya:

”Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengadakan pembohongan terhadap Allah padahal mereka diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim. Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, meskipun orang kafir itu membenci.”

Dalam risalah karangannya yang berjudul ’Antara Semalam dan Hari ini’, Hassan Al Banna menyenaraikan bebrapa cabaran utama kepada usaha dakwah menegakkan syariah Allah, sebagaimana yang disenaraikan di bawah:

  1. Kejahilan masyarakat;
  2. penyisihan (sikap berkecuali) ahli agama dan ulama tradisional;
  3. kejahatan golongan pembesar, pemimpin dan pihak berkuasa; dan
  4. Kekangan dan halangan pihak pemerintah dan kelompok yang

berkepentingan sendiri.

Cabaran yang disenaraikan ini saling berkaitan antara satu sama lain. Dengan semakin terhakisnya aqidah dan pegangan nilai Islam dalam kalangan masyarakat akibat kejahilan yang menebal, syariah Islam menjadi sesuatu yang menakutkan, janggal dan terasing. Tambah malang, umat Islam sendiri menolak dan menjauhi syariah Islam dan lebih selesa mengguna pakai sistem perundangan dan cara hidup yang lain. Akibatnya, muncullah pelbagai masalah dan kerosakan akibat keengganan umat mengamalkan syariah Islam yang syumul.

Begitu jelas peringatan yang diberikan oleh Allah dalam surah Al Ahzab ayat ke 36 yang mafhumnya:

”Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila allah Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Meneliti cabaran-cabaran seterusnya, syariah yang mulia ini juga malangnya tidak dipertahankan oleh para ulama dan cendekiawan yang tegas, berani dan berkemampuan. Pada masa yang sama, kelompok pemimpin, pembesar, pemerintah dan pihak berkuasa pula mempunyai pendirian yang amat menentang pelaksanaan syariah ini, dengan pelbagai alasan dan kritikan. Memang tepat apa yang diperkatakan oleh Prof. Dr. Yusuf Al Qaradhawi di dalam buku beliau ’Syari’ah Al Islam Sholihah Lil at Thatbiq Fi Kulli Zaman Wa Makan’(Pelaksanaan  Syariah Islam Sesuai Dilaksanakan Setiap Tempat dan Waktu) yang menyenaraikan dua halangan yang bertanggungjawab menyebabkan penolakan syariah, iaitu:

  1. Penyelewengan politik hasil kezaliman pemerintah dan kefasikan mereka berpaling daripada perintah Allah dalam urusan pemerintahan dan pengurusan harta kekayaan mereka.
  2. Kejumudan dan kebekuan fiqh hasil daripada penutupan pintu ijtihad oleh para ulama, mewujudkan pendapat wajibnya bertaqlid, dan berpegang kepada satu mazhab tertentu sahaja.

Segala cabaran ini mestilah dihadapi dengan penuh iltizam dan komitmen, tanpa kenal lelah dan jemu, tidak mudah kecewa dan putus asa. Segala komitmen dan iltizam mestilah dipusatkan kepada usaha menyediakan kelompok da’i yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan sikap yang betul bagi membentuk barisanhadapan dalam menghadapi cabaran dan halangan ini. Malahan lebih tepat lagi, masa depan Islam banyak bergantung kepada keupayaan kita mendidik barisan da’i ini, bermula dari sekarang.

Read Full Post »

%d bloggers like this: