Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘PTPTN’

DEBAT ini merupakan satu mercu tanda kepada bermulanya politik sihat, politik matang, politik ide dan juga politik bersih yang diimpikan oleh majoriti rakyat Malaysia. Masyarakat sudah meluat dengan politik fitnah, politik identiti dan juga perkauman yang mendominasi dan cuba dipaksakan ke atas mereka.
Rakyat Malaysia amat bertuah kerana terdapat pihak yang sanggup mengusahakan program debat ini agar berjaya. Ia mungkin julung kali diadakan, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selari dengan perkembangan politik matang negara-negara maju, dan akan merintis jalan kepada debat-debat lain yang melibatkan ahli politik-ahli politik yang lebih kanan.

Kita berharap permulaan ini akan menatijahkan kemuncaknya iaitu debat di antara calon Perdana Menteri dari kalangan BN dengan calon Perdana Menteri dari kalangan PR.

Kedua-dua ahli politik muda ini memberikan harapan kepada kita bahawa para pemimpin pelapis yang akan menjadi peneraju Malaysia di masa hadapan sudah bersedia untuk membawa perubahan.

Khairy Jamaluddin dalam perkara ini merupakan spesis unik dari partinya. Keberaniannya wajar dijadikan contoh kepada para pemimpin Umno yang sehingga kini masih lagi menikus apabila diajak berdebat di dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Bagi Rafizi pula, beliau memberikan harapan baru bahawa PKR dan PR juga sudah bersedia untuk menyajikan para pemimpin berkualiti bertaraf antarabangsa yang boleh membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Keberanian Kumpulan Media Karangkraf, Astro Awani dan radio Bernama24 untuk menjadi penganjur bersama debat bersejarah ini wajar diberikan pujian.

Diharapkan media-media cetak dan penyiaran lain akan turut mengikuti jejak langkah mereka di dalam mendidik masyarakat, mematangkan politik negara dan juga memberikan maklumat yang saksama kepada rakyat agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat dan adil dalam PRU13 nanti.

Rakyat Malaysia amat merindukan media yang berintegriti, berkualiti, mempunyai kredibel dan menghayati semangat demokratik dan juga politik hujah.

Akhir sekali, kepada rakyat Malaysia, diharapkan dapat mengambil peluang untuk menonton debat yang amat bermakna ini. Segala hujah para pendebat seharusnya membuatkan rakyat berfikir untuk diterjemahkan kepada pilihan mereka dan juga menjadi panduan untuk mereka menjadi warga yang lebih matang.

Semoga langkah yang pertama ini akan mengangkat rakyat Malaysia dari kepompong politik fitnah dan sempit yang dipaksakan ke atas mereka kepada politik yang lebih bertanggungjawab dan mengangkat martabat akal dan kemanusiaan.

* Dr Maszlee Malik, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia akan mengendalikan debat PTPTN 22 Mei 2012

Rakaman – Debat Khairy Jamaludin VS Rafizi

Read Full Post »

%d bloggers like this: