Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Ulama’

Ibrah dari Sebuah Kembara

Semalam telah aku sengaja merajinkan diri untuk ke bandar Melaka. Ya, bandar Melaka yang kini telah dipenuhi pelbagai bangunan yang besar dan serba mewah khusus untuk rakyat Melaka dan pengunjung luar membeli belah.

Ribuan orang datang ke sini. Ada Mahkota Parade, ada Carrefour, ada Taming Sari, A Famosa aka Saint Paul Hill dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

Paling mengesani aku adalah ketika berjalan dengan perlahan di padang Dataran Pahlawan. Dulunya, 10 tahun lalu ia penuh dengan warna hijau. Kini dikelilingi banyak bangunan. Kurang sejuk sekarang. Tapi aku seronok di situ melihat di situ ada beberapa buah keluarga pelbagai bangsa menikmati kehijauan padang tersebut. Rumputnya lembut dan tebal. Dan padang itu direka jaya diatas binaan beli belah.

Mereka berlarian. Ibu ayah dan anak mereka. Kaum Cina berlumba lari sesama. India bermain bola plastik. Melayu berjalan sambil memegang kasut mereka di tangan. Menikmati kehijauan yang jarang dilihat mata kini. Semuanya menguntum di bibir. Menampakkan barisan gigi. Tiada marah dan keji. Segalanya dilihat bahagia. Indah sungguh pemandangan ini padaku.

Puas aku melihat, aku berjalan lagi menuju Bukit St. Paul. 500 meter dari Dataran Pahlawan. Percuma. Melewati ramai pengunjung dari China dan Korea. Muda-mudi remaja yang memenuhi petang dengan kawan-kawan. Mengambil gambar berlatarbelakang Kota A Famosa. Selepas dai satu gaya, bertukar pula kepada gaya yang lain.

Setelah 10 tahun aku tidak berkunjung ke sini, suasana tidak banyak berubah. Masih dipenuhi dengan ramai penjual barang kraf dan lukisan. Binaan kapal dan harmonika. Hampir kesemuanya berharga RM10.

Tatkala aku menaiki menuju Bukit St. Paul, tiba-tiba hati membisikkan ayat 138-140 dari Surah Ali ‘Imran yang mengingatkan aku akan peri pentingnya melihat semula sejarah. Dan akibat kepada manusia yang didalamnya.
Serta aku terpana pada pujukan Allah pada mengatakan bahawa jika mereka yang berjuang pada jalan Allah itu akan diganjarNya kelak. Sakit dan seksa mereka di dunia dibayar Allah di akhirat kelak.

Aku merasa sebak. Sebab bumi yang sedang aku pijak ini dahulunya dipenuhi darah ulama bumi Melaka. Kesemua mereka dibunuh di sini demi menghalang kebangkitan semangat Melayu Islam ketika dijajah.

Satu nama dari kalangan ulama yang terbunuh itu tidak tercatat di bukit itu. Hanya nama penjajah dan patung batu berhala yang ada. Ramai lah pula yang bergambar kenangan dengan patung itu.

Itulah ibrah buat diriku pada sebuah kembara yang sebentar di bukit ini.

Read Full Post »